Shah Alam: Management and Science University (MSU) menjadi antara universiti swasta yang mencatat kedudukan terbaik apabila pertama kali disenaraikan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020.
MSU berada pada kedudukan 541 ke 550 dalam kalangan 1,000 universiti terbaik dunia sekali gus meletakkan universiti berkenaan dalam kalangan 51 peratus universiti terbaik dunia bagi edisi kali ini.
Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata pengiktirafan diperoleh itu adalah pengiktirafan kepada universiti sekali gus menjadi penanda aras untuk melihat sama ada universiti menyedia dan menjalankan program yang betul untuk melahirkan graduan seimbang, holistik dan serba boleh pada masa depan.
Katanya, sejak awal penubuhannya, matlamat utama MSU adalah untuk melahirkan graduan yang seimbang, holistik dan serba boleh sejajar dengan moto universiti iaitu Transforming Lives, Enriching Future.
“Orang ramai mungkin ada yang keliru dengan penubuhan universiti dan berpendapat kita ingin mengejar ranking sedangkan perkara itu tidak benar. Paling penting ialah meletakkan ranking itu pada perspektif yang betul dan saya percaya ia adalah penanda aras dalam memastikan universiti kekal melaksanakan misi masing-masing.
“MSU sentiasa kekal dengan matlamat utama iaitu melahirkan graduan yang mempunyai karakter yang seimbang, perspektif yang holistik, serba boleh dan pengiktirafan daripada QS ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul kerana berjaya mencapai tahap tertentu di peringkat antarabangsa,” katanya.
Penilaian menyeluruh
Penilaian QS World University Rankings 2020 menggunakan enam indikator iaitu reputasi akademik (40 peratus), reputasi majikan (10 peratus), nisbah pelajar fakulti, (20 peratus), sitasi fakulti (20 peratus), fakulti antarabangsa (5 peratus) dan pelajar antarabangsa (5 peratus).
MSU disenaraikan pada kedudukan ke-314 bagi indikator untuk nisbah pelajar fakulti, pelajar antarabangsa (333), fakulti antarabangsa (334) dan reputasi majikan (399).
Mengulas mengenai indikator yang digunakan QS dalam membuat penilaian terhadap universiti, Prof Mohd Shukri berkata penilaian yang dibuat itu adalah sangat menyeluruh tetapi MSU tidak terikat untuk bekerja mengikut indikator berkenaan sebaliknya mempunyai komponen tersendiri dalam membangunkan universiti dan melahirkan graduan holistik di masa depan.
Katanya, enam indikator yang sentiasa dititikberatkan oleh MSU ialah industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, memperbaiki komponen penyelidikan, program lestari dan komuniti serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Kita sentiasa berusaha untuk mengantarabangsakan MSU sama ada dari aspek jenama, komuniti dan juga pelajar malah sasaran universiti ialah mempunyai 50 peratus kakitangan swasta, 20 peratus pelajar antarabangsa dan 300 rakan institusi di seluruh dunia sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk menjadi Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa di masa depan.
Rentas sempadan
“Kita juga sentiasa merancang untuk memperbaiki komponen penyelidikan rentas sempadan yang membabitkan kerjasama antarabangsa dan kepelbagaian disiplin malah di masa depan, MSU berharap untuk dikenali dalam bidang penyelidikan membabitkan 25 bidang yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Prof Mohd Shukri berkata, berdasarkan pelbagai usaha dan penambahbaikan yang dibuat itu, MSU berharap untuk terus memperbaiki ranking universiti dunia dan mensasarkan untuk berada di kedudukan 100 terbaik di Asia dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ranking memang penting tetapi bukan pengakhiran kerana perkara utama yang dititikberat universiti ialah memberi fokus kepada usaha untuk menghasilkan graduan yang holistik, seimbang dan serba boleh pada masa depan,” katanya.