Robot Tele-presence Bantu Industri Berbahaya

Friday Jun 14th, 2019
By
Johor Bahru

Sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Pusat Kecerdikan Buatan dan Robotik (CAIRO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan sebuah robot yang mampu bergerak mengikut pergerakan manusia.

Ketua penyelidiknya, Prof Madya Ir Dr Ahmad Athif Mohd Faudzi, berkata produk itu amat sesuai diguna pakai dalam industri berbahaya terutama bagi yang memerlukan kepakaran manusia. Beliau berkata, produk berkenaan boleh dimanfaatkan secara meluas seperti dalam industri kimia dan perubatan dengan robot boleh dikawal walaupun terdapat perbezaan jarak serta lokasi.
Penciptaan produk berbentuk seakan-akan tangan manusia yang diberi nama Tele-Presence Robotic itu dibangunkan menerusi kerjasama UTM dengan syarikat telekomunikasi elektronik terkemuka Malaysia, Ericsson Malaysia Sdn Bhd.

“Melalui ciptaan inovasi ini, lengan mekanikal yang dihasilkan beroperasi melalui inverse kinematic robot yang dapat mengikut pergerakan lengan operator.

“Operator dikehendaki memakai head-set realiti maya untuk melihat visual pergerakan dan menggerakkan tangannya yang dipasang dengan gelang khas, sekali gus berupaya mengesan arah pergerakan lengan operator itu sendiri,” katanya kepada BH Varsiti.

Salam Tun M
Arahan pergerakan lengan itu kemudiannya dihantar kepada lengan robot dan pergerakan lengan mekanikal akan bergerak mengikut arah pergerakan tangan operator terbabit.

Dr Ahmad Athif berkata, beliau memulakan projek berimpak tinggi itu ketika menjalani penempatan latihan di Ericsson melalui program CEO@Faculty 2.0 Cycle 2 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah program AIxCHANGE bermula September 2018 hingga Februari lalu.

“Ketika di sana, saya diminta untuk membangunkan sebuah demo robotik yang berupaya bergerak berdasarkan pergerakan manusia, malah pergerakan ini dapat dikawal dari jauh menggunakan teknologi tanpa wayar berlatensi rendah iaitu antara kelebihan teknologi 5G.

“Bagi menjayakan projek ini, perbincangan bersama pihak Ericsson juga dibuat dan konsep kerja robot telah dipastikan sebelum kerja pembangunan robot ini bermula,” katanya.

Selain dirinya, kumpulan kerja pembangunan robot berkenaan terdiri daripada empat mahasiswa pascasiswazah serta prasiswazah di bawah seliaannya iaitu Tham Weng Kit, Wong Liang Xuan, Muhammad Zulhelmi Kamarudin dan Mohd Ridzuan Johary.

Lebih membanggakan, penghasilan robot itu mencatat sejarah tersendiri apabila dapat ‘berjabat tangan’ dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena Pameran 5G Malaysia yang diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 20 hingga 21 April lalu.

Original article at: https://news.utm.my/ms/2019/05/penyelidik-utm-cipta-robot-tele-presence-untuk-bantu-industri-berbahaya/
Original article at: